KUCHING, 27 Februari 2026 – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), Datu Haji Abdul Hadi bin Datuk Haji Abdul Kadir di Kompleks Satria Pertiwi pada Jumaat.
Kunjungan tersebut merupakan pertemuan rasmi pertama beliau selaku CEO baharu LAKMNS bersama Premier Sarawak yang juga Pengerusi Lembaga Amanah berkenaan bagi membentangkan perkembangan semasa serta hala tuju strategik institusi itu.
Menurut Datu Haji Abdul Hadi, dalam pertemuan berkenaan beliau memberi fokus kepada usaha memperkukuh asas kewangan lembaga melalui pengurusan hartanah yang lebih sistematik dan berdaya saing.
Beliau berkata, pihaknya turut mencadangkan beberapa bidang baharu yang berpotensi menjana pendapatan mampan dalam jangka masa panjang tanpa kebergantungan berterusan kepada bantuan kewangan kerajaan.
“Alhamdulillah, Yang Amat Berhormat Premier memberi pandangan beliau, memberi nasihat beliau mengenai apa yang kita harus tekankan dalam menyediakan tapak kukuh, tapak pendapatan mampan untuk LAKMNS,” katanya pada sidang media selepas kunjungan hormat tersebut.
Tambah beliau, LAKMNS juga disaran bekerjasama dengan beberapa entiti berkaitan bagi menggembleng tenaga dan kepakaran untuk memperluas sumber hasil baharu demi kelangsungan institusi berkenaan.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan kedudukan kewangan LAKMNS ketika ini berada pada tahap kukuh hasil pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk perladangan kelapa sawit, kuari, minyak dan gas serta hartanah.
Beliau memaklumkan, antara fokus baharu yang sedang diterokai ialah penjanaan pendapatan berasaskan ekonomi hijau selaras dengan dasar pembangunan Sarawak.
“Kami sedang mengkaji penjanaan hasil daripada ekonomi hijau. Ini juga selaras dengan dasar Sarawak, sudah tentu kami ingin memperjuangkan agenda ini melalui Lembaga Masjid,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pendekatan tersebut mencerminkan peranan masjid yang bukan sahaja tertumpu kepada aspek keagamaan, malah bersifat holistik termasuk pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan ekonomi ummah secara lestari.
Hadir sama, Timbalan CEO Mohamad Feisal Said, Ketua Pegawai Jabatan Kewangan Hajah Nona Zaharia Fadzil, Ketua Pegawai Jabatan Korporat dan Perundangan Siti Emiliana Mohd Edmund, Ketua Pegawai Jabatan Pengurusan dan Perkhidmatan Haryati Mohamad dan Ketua Pegawai Jabatan Pengurusan Masjid-Masjid Abang Bikusary Kadir.